Thursday 21 May 2009

Kehidupan

Adakah anda seorang yang cukup sabar dalam mengalami dan menghadapi sesuatu masalah samada masalah itu berpunca dari diri anda sendiri atau langsung anda tidak menyedari kedatangannya? Banyak orang bercakap, masalah tidak datang kalau kita tidak mengundangnya namun begitu jikalau masalah itu dibawa oleh orang yang mempunyai hasad dengki dengan diri anda kerana cemburukan pasangan atau gaya kehidupan anda, apakah yang akan anda lakukan?

Nabi Muhammad (SAW) mengatakan bahawa kesabaran itu adalah sebahagian daripada iman. Tetapi sejauh manakah anda sanggup bersabar dengan orang yang amat begitu mencabar kesabaran dan keteguhan hati dan jiwa anda terhadap apa yang anda pegang selama ini.

Mungkin bagi sesetengah orang diluar sana yang tidak dapat menahan atau mempunyai kesabaran yang luar biasa, tentu akan kecewa dengan situasi yang sebegitu rupa. Namun tidak dinafikan kesabaran adalah kekuatan seseorang manusia yang luar biasa hebatnya walaupun kesabaran itu sendiri akan memakan rohani dan jasmani seandainya tidak disokong oleh iman dan taqwa.

Bertafakur adalah salah satu cara untuk meredakan perasaan yang sedang kacau bilau bila dilanda masalah namun begitu terdapat juga cara yang lain yang dapat dilakukan seperti berkongsi masalah, bersembahyang, menangis dan lain-lain cara yang dapat dirasakan dan difikirkan sesuai untuk dipraktikkan oleh sesiapa yang menghadapi masalah sebegini.

Daripada cara yang telah disebutkan di atas, ada satu cara yang juga dapat dipraktikkan oleh kebanyakkan orang pada masa sekarang iaitu menulis tidak kira secara penulisan tangan ataupun secara elektronik. Ianya diakui dapat meredakan sesuatu emosi dan melahirkan idea jika dipandu dengan ilmu dan kesedaran terhadap apa yang ditulis dan apa yang diluahkan kepada pembaca diluar sana.

Dapat dilihat banyak sekali penulisan daripada amatur dan profesional yang menulis dilaman internet yang mengetengahkan isu-isu yang mungkin selama ini hanya dapat difikirkan tetapi tidak mampu untuk diluahkan secara lisan kerana berkemungkinan akan menimbulkan masalah atau isu kepada mereka ini walaupun diluahkan secara terus. Ianya berkaitan dengan salah satu cara untuk meluahkan perasaan mereka walaupun ada yang mungkin tidak sepenuhnya bersetuju dengan pendapat mereka ini.

Ada juga sesetengah daripada kalangan manusia ini yang sengaja mencari masalah dengan orang lain yang langsung tidak mengenali mereka-mereka yang bebal ini. Inilah yang menambah beratkan masalah yang daripada tidak ada menjadi ada dengan tiba-tiba. Persoalannya adalah, adakah mereka-mereka yang bermasalah ini mengetahui dengan jelas apa yang telah mereka permasalahkan dalam hidup mereka itu. Adakah mereka mendapat kepuasan dengan melakukan perkara yang langsung tidak menunjukkan kedewasaan mereka walaupun pada pandangan dan pendapat mereka adalah begitu hebat sekali. Ini juga menjadi persoalan dikalangan para pemikir yang masih mencari punca sebab dan musabab berlakunya semua masalah kehidupan ini.